Perutusan Pengarah

 
Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera,

Syukur ke hadrat Ilahi, dengan izin-Nya saya diberikan kelapangan masa untuk mencoretkan sedikit kata-kata dan ucapan di dalam portal rasmi Yayasan Islam Perlis ini sebagai penghargaan dan kata aluan kepada pengunjung-pengunjung yang melayari portal ini.

Pertama sekali saya dahului dengan jutaan terima kasih kepada yang sudi melayari portal Yayasan Islam Perlis ini walaupun ia tidaklah sehebat portal jabatan-jabatan kerajaan dan badan berkanun yang lain tetapi usaha penambahbaikan akan tetap diteruskan dari masa ke semasa. Ini selaras dengan tujuan portal ini dibangunkan, agar organisasi ini dapat bergerak maju seiring dengan kemajuan global sekarang yang menuntut penggunaan aplikasi ICT dengan lebih meluas. Ia juga bertujuan agar organisasi ini “Berdiri sama tinggi, Duduk sama rendah” dengan jabatan-jabatan kerajaan dan badan berkanun yang lain dalam penggunaan aplikasi elektronik ini.

Sejak mula ditubuhkan pada tahun 1987, Yayasan Islam Perlis mengorak langkah demi langkah kehadapan walaupun ada ketikanya terpaksa menghadapi beberapa halangan yang menyebabkan kelicinan dan kelancaran pentadbiran organisasi terganggu tetapi demi usaha kebajikan dan pembangunan iktisad Islam, Yayasan Islam Perlis meneruskan juga perjuangan itu walaupun terpaksa mengharungi onak dan duri kerana ingin mencapai objektif dan tujuan asal penubuhan Yayasan Islam Perlis.

Kini, telah 25 tahun Yayasan Islam Perlis beroperasi dan dipimpin oleh pengarah yang datang dan pergi, Yayasan Islam Perlis terus bergerak maju kehadapan dengan barisan anggota pentadbiran yang lebih berintegriti, mantap dan dinamik. Saya yakin dan percaya dengan terbinanya laman web ini, seluruh rakyat Malaysia boleh mendapatkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan Yayasan Islam Perlis seterusnya mendekati dan mengenali organisasi ini dengan lebih rapat. Saya juga berharap dengan kejayaan pencapaian dalam bidang ICT ini menjadi pemangkin untuk Yayasan Islam Perlis terus mengatur langkah menjadi salah satu organisasi yang berjaya di dalam apa jua agenda yang dilaksanakan.

Sekali lagi saya dengan rasa hormatnya, ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung ataupun tidak dalam usaha pembangunan pentadbiran Yayasan Islam Perlis dari dahulu hingga ke hari ini demi memastikan organisasi ini tidak terkubur dengan sendirinya dan kekal sebagai sebuah organisasi yang benar-benar memartabatkan agama islam agar menjadi sebuah organisasi yang mantap dan efisyen.

Akhir kata, segala yang baik itu datang-Nya dari Allah S.W.T dan yang buruk itu dari kita hamba-Nya. Harapan saya agar sokongan dan kepercayaan terus diberikan kepada Yayasan Islam Perlis supaya agama, bangsa dan negara kita terus dibela. Insya-Allah.

Sekian.